Akademi Jawi Malaysia

Pedoman Berhari Raya

$15

Author: Sidang Pengarang Bintang Malaya

Pages: 115

Type: Paperback

Naskhah Pedoman Berhari Raya ini diterbitkan pada tahun 1360 Hijri yang bersamaan dengan tahun 1941 Miladi. Berkemungkinan buku ini diterbitkan sekitar pertengahan bulan puasa, kerana tarikh tersuratnya kata Pendahuluan itu pada 15 haribulan Ramaḍān. Ummat Islām di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu menunaikan ‘ibadah puasa Ramaḍān pada 22 September, dan menyambut ‘Īd al-Fiṭr pada 21 Oktober—iaitu sebelum Tentera Diraja Jepun mendarat di Kota Bharu pada tanggal 8 Disember 1941.

Naskhah ini mempunyai beberapa ciri tersendiri yang boleh dikaji dan diambil i‘tibar antaranya:

 1. Ia diterbitkan pada ambang dunia dilanda ujian besar yang meragut jutaan nyawa dan harta iaitu Perang Dunia Kedua;

2. Secara tidak langsung meraqamkan perubahan-perubahan baharu yang diserap ke dalam kebudayaan Melayu ketika sambutan Hari Raya Puasa, seperti ‘amalan pengiriman kad ucapan Hari Raya dan bermain mercun;

3. Tidak lupa juga dalam menggariskan hukum-hakam shari‘at, ia turut menyatakan beberapa perkara kema‘siyatan yang kerap kali berlaku sepanjang sambutan Hari Raya; dan

4. Disertakan beberapa lampiran gambar-gambar nadir suasana Hari Raya ketika itu.

Penerbitan baharu ini juga disertakan dengan pengenalan naskhah secara terperinci oleh pengkaji, iaitu saudara Chong Kok Hoong yang telah merungkai sedikit sebanyak latar penerbitan Pedoman Berhari Raya ini serta para pengarangnya yang amat berjasa dalam perkembangan da‘wah Islāmiyyah ketika itu. Istimewa lagi turut dimuatkan ialah kata pengantar Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Bin Sariyan, Ahli Dewan Negara, yang antara lainnya menyebut bahawa “... kesedaran ulama dan cendekiawan silam telah muncul untuk memberikan pedoman yang bersendikan syarak kepada masyarakat agar Hari Raya disambut sebagai ibadat, bukan semata-mata sebagai adat. Antara ungkapan yang menunjukkan ketajaman daya kritis penyusun risalah ini ialah peringatan agar ‘Hari Raya tidak bertukar menjadi Hari Berdosa’ disebabkan sambutan yang tidak syar‘i.”


      

You may also like

Recently viewed