Soeloeh Merdeka

Masharakat Chantek

$22

Author: Mohd Rosli Ibrahim

Type:

Pages: 316

Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU membicarakan perihal kehidupan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mengumpulkan sekelumit kecil beban penyisihan sosial yang sentiasa dilalui sepanjang perjalanan kehidupan. OKU sudah lama dijadikan objek inspirasi (inspirational porn) ketika mereka bertarung sendirian dengan ‘tangan’ dan ‘kaki’ terikat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Naskhah ini membawakan persoalan demi persoalan, daripada sang penulis yang juga merupakan seorang OKU. Mengapakah OKU dicitrakan dalam perihal ‘tidak cantik’? Adakah kekurangupayaan telah menghilangkan sifat cantik seorang manusia? Sudahkah yang ‘cantik’ dapat menghindari segala kekurangan?

Selalunya OKU dianggap sebagai sumber inspirasi hanya karena mereka sedang berjuang untuk bertahan hidup meski dengan kekurangupayaan. Namun, pandangan ini mengabaikan realiti kelemahan sosial yang mereka alami tatkala masyarakat pula seringkali gagal mendukung mereka. Masyarakat mendabik bahawa mereka sangat menyantuni OKU. Mereka sudah menyediakan imaginasi ‘istimewa’, ‘khas’, ‘penuh inspirasi’. OKU yang tidak berupaya hanyalah mereka yang malas berusaha. ‘Masyarakat cantik’ hanya menanggapi OKU dalam imej-imej kekurangupayaan dan mengabaikan ketidakupayaan sosial yang dialami oleh mereka. Kehadiran buku ini sedang menzahirkan fikiran-fikiran yang melangkaui zamannya. Penulis sedang merebut kembali wacana kekurangupayaan dan ketidakupayaan yang selama ini menjadi milik hegemoni ‘masyarakat cantik’.

Naratif semasa mengenai OKU sedang diperdebatkan kembali dalam laras-laras popular dengan disertai perspektif mendalam penelitian akademik. Buku kecil ini menggarap segala permasalahan selingkar OKU dengan bersahaja. Semua persoalan-persoalan rumit ini akan cuba ditelanjangi secara jelas dan tanpa disembunyikan lagi. Hal demikian kerana ada beberapa sisi yang masih tersembunyi daripada pemahaman khalayak awam mengenainya. Kehadiran buku kecil ini cuba memberikan suatu pemetaan baharu kepada kefahaman sedia ada berkaitan OKU. Analisisnya masih boleh diperdebatkan secara ilmiah. Semoga para pembaca yang budiman berhenti sejenak dan merenung sedalam-dalamnya setiap pandangan yang dilontarkan oleh penulis.

You may also like

Recently viewed