Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Manuskrip Melayu: Sumber Maklumat Peribumi Melayu

$13.50

Author: Ding Choo Ming

Type: Paperback

Pages: 84


Manuskrip Melayu: Sumber Maklumat Peribumi Melayu
 dipersembahkan sebagai Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia yang disampaikan pada 28 November 2008, di Bilik Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kebanyakan manuskrip Melayu, terutamanya yang diberikan judul sebagai sejarah dan hikayat boleh dipandang semacam bunga rampai. Dalam teks yang kaya dengan isi itu boleh didapati panduan, nasihat, hiburan, pendidikan, sejarah, politik, hubungan antarabangsa, perubatan, sains, teknologi dan banyak lagi maklumat dan ilmu.

Kepelbagaian subjek itu ada kalanya kelihatan seperti serpihan dan gelandangan maklumat dan ilmu yang terapung-apung di semudera yang luas, tetapi sudah dikarang dengan sebegitu mahir oleh pengarang yang berkebolehan dan berpengetahuan luas sehinggakan teks-teks itu boleh dirujuk sebagai gudang maklumat dan ilmu tentang kebijaksanaan, sejarah, budaya dan pandangan dunia peribumi Melayu.

Dalam konteks ini, kuasa penjajah Eropah yang menguasai Dunia Melayu dari abad ke-l6 sehingga Perang Dunia ke-Il itu tidak mempunyai kesan negatif kepada perkembangan manuskrip Melayu dikebanyakan istana Melayu sehingga akhir abad ke-l9. Sebaliknya, tradisi penulisan manuskrip Melayu telah dibela dengan baik oleh sekumpulan pengarang dan penyalin Melayu dari pelbagai bidang di bawah naungan raja-raja Melayu di istana yang menjadi pusat kerajaan Melayu yang tersebar luas di Dunia Melayu. Biarpun hegemoni penjajahan Barat telah sampai kemuncaknya pada penghujung abad ke-19, detik yang kritikal bagi negara-negara Asia di bawah penjajahan Barat, tetapi kesan negatif dari Barat kepada perkembangan kesenian peribumi Melayu hanya terasa setelah raja-raja Melayu kehilangan kuasa mereka, lebih-lebih lagi setelah dipencilkan pada akhir abad ke-19.

Selain itu, budaya dan tradisi manuskrip Melayu telah berkembang tanpa gangguan daripada rodokan pengaruh Cina dan Hindu. Oleh itu, manuskrip Melayu adalah sumber maklumat penting yang berkaitan tentang hal ehwal orang Melayu pada masa lampau. Setelah mengkajinya, kita dapat mengetahui tentang perkembangan yang rumit meliputi hampir semua aspek masyarakat feudal Melayu dengan sistem sosial, keagamaan dan politik yang ketat peraturannya, lantaran mencerminkan susunan kosmos Melayu, dengan raja menduduki tempat yang utama, laksana paku Dunia Melayu dengan istana Melayu memainkan peranan sebagai pentas drama kosmos Melayu. Dalam masyarakat feudal Melayu itu ketidakadilan dan keganasan selalu berlaku, terutamanya kepada orang yang berani menentang atau mengkritik raja dan pegawainya secara terbuka Oleh sebab itu, isu kontroversi mengenai raja terpaksa dipakej semula menjadi mitos dan legenda untuk membolehkan pengarang menyelamatkan diri di satu pihak dan menyampaikan kritikan mereka di satu pihak yang lain. Ini bermakna memang ada cerita sebenar di sebalik legenda dan mitos dalam manuskrip Melayu.

Sehubungan itu, fakta kurang saintifik, tidak logik, malahan tidak benar maklumat itu kepada orientalis, adalah antara cara yang biasa digunakan oleh orang Melayu pada masa dahulu untuk menyimpan maklumat, menyebarkan ilmu, menceritakan kisah dan merakamkan sejarah. Kepengarangan sedemikian itu amat berbeza dengan yang terdapat di negara Eropah dan cara kita pada masa kini. Tetapi, kaedah sedemikian telah membuat khalayak lebih kaya dalam khayalan. Kini, usaha bersungguh-sungguh masti dilakukan untuk menebus semula maruah dan keagungan Melayu dalam ribuan manuskrip Melayu yang tersimpan di dalam 151 buah perpustakaan di 57 buah negara dengan harapan boleh disemarakkan kembali kemegahan orang Melayu dalam warisan budaya itu, selain merangsang minat lebih ramai orang untuk mengkajinya sebagai sumber maklumat peribumi Melayu yang penting, tetapi diperlekehkan orientalis sekitar 50 tahun lalu.

Anak kunci untuk memahaminya hanya dapat diperolehi setelah kita memecahkan kod rahsia yang tertanam dan tersorok dalam manuskrip itu dari banyak segi, selain sejarah dan sastera. Manuskrip Melayu: Sumber Maklumat Peribumi Melayu merupakan usaha berdaya ke arah objektif tersebut. Hanya dengan berbuat demikian, barulah sumber maklumat masa silam itu dapat memberi ilmu dan bermakna kepada orang Melayu masa kini sama seperti kepada orang Melayu masa silam.

You may also like

Recently viewed