DBP
Maulud Jawi Sebagai Tradisi Kesenian Melayu
Author: Sakinah Abu Bakar
Type: Paperback
Pages: 213
Maulud Jawi Sebagai Tradisi Kesenian Melayu meneliti, mengupas dan memahami struktur serta persembahan Maulud Jawi, yang menyentuh aspek tema, plot, perwatakan, kekuatan kreativiti, penggunaan bahasa, dan teknik penyampaian teks. Selain itu, buku ini turut melibatkan perbincangan mengenai asal usul kesenian ini, pengaruh daripada tradisi kepenyairan dunia Islam dan aspek sejarah perkembangan serta fungsinya dalam masyarakat.
Kitab Maulud Jawi yang juga dikenali sebagai Nazam Kanz al-‘Ula dipercayai ditulis oleh ulama terkenal dari negeri Terengganu yang bernama Muhammad bin Zainal Abidin bin Hussin bin Mustaffa atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar. Nazam ini ditemui dalam empat versi dan Maulud Jawi merupakan versi keempat, yang merupakan manuskrip tulisan tangan milik peribadi Allahyarhamah Hajah Rahmah binti Ahmad yang beralamat di No. 283, Kampung Permatang Rawa, Seberang Perai, Pulau Pinang. Kini, naskhah berkenaan tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Kitab Maulud Jawi yang menjadi tumpuan perbincangan dalam buku ini berusia lebih 100 tahun. Teks ini adalah tentang kehidupan Nabi Muhammad SAW. Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi pandangan dan perbincangan dengan pembaca dalam meneliti aspek kecemerlangan keilmuan dari satu sisi teks dan persembahan Maulud Jawi. Pembaca juga berpeluang meneliti aspek latar belakang manuskrip yang menyentuh tentang latar kampung yang memilikinya. Walaupun manuskrip Maulud Jaw; ini berusia lebih 100 tahun, namun masih dipulihara dengan baik oleh masyarakat Kampung Permatang Rawa. Teks ini digunakan dalam majlis Maulud yang merupakan salah satu tradisi keislaman yang tidak asing lagi dalam masyarakat Islam di Nusantara.
Struktur Maulud Jawi disorot secara menyeluruh merangkumi tema, plot, perwatakan dan bentuk. Kitab ini mengisahkan tema ketokohan dan kepahlawanan Nabi Muhammad. Tema ini jelas menepati tema epik kerana menekankan idea kepahlawanan. Sifat ini sangat jelas dalam peristiwa-peristiwa Nabi Muhammad SAW menghadapi pelbagai cabaran besar dan getir, seperti peperangan dengan musuh-musuh Islam. Semua ini adalah untuk mencapai satu matlamat iaitu menyampaikan dakwah dan menegakkan syiar Islam.
Nabi Muhammad SAW lahir dalam masyarakat yang kukuh dengan kepercayaan lama dan nilai kehidupan yang diwarisi turun-temurun. Kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sesungguhnya merupakan sesuatu yang baharu dan bertentangan dengan amalan mereka. Hal yang demikian juga dianggap sebagai satu tamparan hebat bagi mereka. Justeru, mereka berusaha menentang usaha dakwah Nabi Muhammad habis-habisan. Namun, sebagaimana yang diketahui, Nabi Muhammad telah dianugerahi Allāh dengan sifat-sifat kesempurnaan, maka dengannya dapatlah Nabi Muhammad menghadapi pelbagai cabaran dan halangan sepanjang perjuangannya itu. Maulud Jawi mendekati plot epik dan bersesuaian dengan pandangan hidup Islam.
Tentang persembahannya pula, ternyata bahawa Maulud Jawi menumpukan pada watak utamanya iaitu Nabi Muhammad. Watak ini digambarkan oleh pengarang setepat yang mungkin. Semuanya tidak bertentangan dengan pengetahuan tentang Nabi Muhammad yang sepatutnya diketahui oleh umat Islam. Penampilan watak ini jelas dan selari dengan perjalanan plotnya. Peristiwa-peristiwa yang digambarkan satu per satu memperjelaskan ketrampilan dan sifat kepimpinan watak. Manakala penampilan watak-watak yang terdiri daripada para sahabat Nabi Muhammad sangat terhad. Maksudnya tidak diberi tumpuan khas, sebaliknya sekadar menampilkannya di mana-mana yang perlu, sesuai dengan peristiwa yang digambarkan. Namun begitu, hal ini tidak pula menjejaskan kedudukan dan kepentingan watak utama mahupun watak-watak sampingan. Kefahaman pembaca juga pasti dapat dijana dengan baik dan lancar. Hal ini demikian kerana nama-nama itu sudah tidak asing lai bagi pemahaman pembaca sebagai umat Islam. Umumnya, dapatlah dikatakan bahawa perwatakan dalam Maulud Jawi ini bercorak Islam, condong kepada perwatakan cerita epik. Justeru, penampilan watak utama dan watak-watak sampingan yang penuh dengan ciri-ciri dan sifat-sifat perjuangan dan keislaman.
Buku ini juga turut membicarakan tentang kaedah persembahan Maulud Jawi, serta perincian lagu-lagunya. Maulud Jawidibawa dalam majlis yang penuh dengan suasana kesederhanaan, tetapi amat bermakna. Inti pati teks yang bernilai puitis ini disampaikan melalui nyanyian atau dilagukan. Cara persembahan ini merupakan suatu cara yang berkesan dan menarik minat pendengar terutamanya. Seni lagunya indah dan merdu, terutama dalam korus-korusnya yang berupa kalimat puji-pujian kepada Allāh dan Rasul-Nya. Di samping itu, bait-bait puisinya diperindah dengan diksi-diksi pilihan yang padat makna.
Aspek yang disentuh berikutnya ialah tentang bentuk Maulud Jawi. Pengarang telah menyebutkan pada awal penceritaannya bahawa karyanya ini adalah sebuah nazam. Namun begitu, setelah diteliti, bentuknya mendekati syair, dengan rima dan bilangan suku katanya yang agak konsisten. Walau bagaimanapun, bentuk ini jelas tergolong dalam jenis puisi yang indah dan bermutu. Maulud Jawi ternyata mempunyai peranannya yang tersendiri khususnya dalam hubungan dengan agama Islam. Penghayatan terhadap inti pati Maulud Jawi dapat meresapkan rasa cintakan Nabi Muhammad dan Allāh.