Mutiara-Mutiara al-Qur’ān

Oleh Liyana Ramlan

Dalam menelusuri samudera keagungan al- Qur’ān, Imam al-Ghazāli dalam kitabnya Jawāhir al- Qur’ān membincangkan dengan lebih terperinci inti pati atau mutiara-mutiara yang terkandung dalam al- Qur’ān. Kitab suci al- Qur’ān ibarat sebuah lautan luas tidak bertepi yang terdapat banyak permata serta segala jenis mutiara. Berapa ramaikah antara kita yang mengunjungi lautan al- Qur’ān tetapi tidak memperolehi sebarang manfaat kerana kurang pasti apa yang dicari? Berapa lama lagikah mata kita hendak ditutupitidakkah patut kita renungi?

Tahukah bagaimana caranya untuk kitakembali kepada al- Qur’ān’? Seperti sedia maklum, terdapat pelbagai cara untuk kita mengakrabkan diri dengan al- Qur’ān dan tidaklah hanya terhad kepada membaca al- Qur’ān. Perkembangan pengajian al- Qur’ān mutakhir disibukkan dengan pengajian tajwid makharijul huruf atau sekadar peringkat zahiriah dan umum. Jika diteliti dengan lebih mendalam, salah satu inti pati utama al- Qur’ān adalah untuk memperkenalkan Allah kepada hamba-hambaNya; menyeru kepada Allah. Hatta, peringkat tertinggi bagi ilmu inti sari yang terkandung dalam al- Qur’ān sekaligus menjadi dasar bagi ilmu-ilmu utama dan ilmu yang paling mulia merupakan ilmu tentang Allah dan hari akhirat. Yang menyusulinya pula merupakan ilmu pengenalan tentang penyucian jiwa serta penghiasan jiwa dengan sifat-sifat yang menyelamatkan.

Menurut Imam al-Ghazāli, surah al-Fātihah yang merupakan pembuka bagi al-Qur’ān juga merupakan kunci bagi pintu-pintu syurga. Dalam erti kata yang lain, surah al-Fātihah yang merujuk kepada beberapa perkara; setiap satu membuka satu pintu daripada pintu-pintu kebun makrifah. Surah al-Fatihah, sekiranya diteliti, terangkum beberapa perkara, iaitu mengenai (1) Zat Allah, (2) Sifat-sifatNya, (3) Perbuatan-perbuatanNya serta penisbahan perbuatan tersebut kepadaNya, (4) Hari kebangkitan, (5) Jalan yang lurus yang meliputi dua bahagian iaitu penyucian jiwa (al-tazkiyyah) dan penghiasan jiwa (al-tahliyah), (6) Nikmat yang dikurniakankepada para awliyah, (7) Kemurkaan kepada musuh, dan (8) Hari kebangkitan. Dalam surah al-Fātihah terkandungnya inti pati mengenai permulaan jalan yang lurus melalui rasa bersyukur, ciptaan Allah – setiap satu makhlukdiciptakan secara sempurna dan terbaik mengikut jenis masing-masing, rahmat pada hari Akhirat, beribadah dengan ikhlas yang merupakan roh jalan yang lurus, inti pati akidah tauhid, dan juga permintaan dan doa; peringatan tentang keperluan seseorang insan untuk bermohon dan bergantung harap kepada Allah – memohon hidayahkearah jalan yang benar.

Imam al-Ghazāli dalam fasal kelima belas pula menerangkan mengapakah surah al-Ikhlas menyamai satu per tiga al- Qur’ān. Menurutnya, inti pati al- Qur’ān dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu:

1. Mengenal Allah;
2. Pengetahuan tentang akhirat; dan
3. Pengetahuan tentang jalan yang benar
 

Oleh yang demikian, sekiranya diteliti, surah al-Ikhlas secara jelas mengandungi salah satu daripada tiga inti pati utama al- Qur’ān, iaitu mengenal Allah, mengesakan dan mensucikan Allah. Penisbahan al-Samad bagi Allah memberi gambaran bahawa kepada Allah sahaja kita bergantung. Tiada tempat berharap untuk segala keperluan melainkan hanya kepada Allah.

Menurut Sayyid Qutb, hidup di bawah bayangan al-Quran adalah satu kenikmatan yang tidak diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahajasuatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang. Bulan Ramadan seringkali disebutsebagai bulan al- Qur’ān. Maka, sambutlah kedatangan tetamu istimewa kita ini dengan menghidupkan jiwa kita dengan al- Qur’ān. Allama Muhammad Iqbal juga pernah berpesan bahawasanya sekiranya kita ingin hidup sebagai seorang Muslim, maka mustahil baginya untuk hidup tanpa al- Qur’ān (“If you want to live as a Muslim, then it is impossible to live without the Qur’an”). Walhasil, rancanglah dan berusahalah agar al- Qur’ān sentiasa dekat dengan jiwa kita. Moga Ramadan kali ini lebih bermakna.

Nota: Penulisan ini juga diubah suai daripada kuliah Jawahir al-Quran bersama Almarhum Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, mantan Pensyarah Kanan, RZS-CASIS UTM.

Rujukan

Mohd Nur Azuan Mohd Nasir, Muhammad Mu'izz Abdullah & Lasafarudi Lahadi. 2021. Mutiara-mutiara Al-Quran. Kuala Lumpur: Rabbani Books & Media.

Biodata Penulis

Liyana Ramlan merupakan seorang guru bahasa Melayu. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu (BA) dalam bidang bahasa Melayu dan Sarjana PengajianMelayu (MA) dalam bidang penterjemahan bahasa Melayu dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM). Beliau juga merupakan alumni Siri Wacana Pandangan Alam Islam WISE (2020-2022) di bawah Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM).